06 April, 2025
Tiga syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights di sini hari ini. Mereka adalah Berjaya Corporation Berjaya (BCorp) yang menyumbangkan RM3,000 kepada 300 keluarga, manakala syarikat pemaju Matrix Concept Holdings Berhad (Matrix) menyalurkan RM3,000 kepada 100 keluarga. Syarikat e-dagang kereta bersepadu, Carsome pula menaja 50 kereta untuk kegunaan mangsa kebakaran selama sebulan. Untuk fasa pertama hari ini, penyerahan kepada mangsa membabitkan 20 kereta. Difahamkan Isnin nanti, sebuah syarikat bersetuju menaja sebanyak 63 motosikal kepada mangsa kebakaran di Putra Heights. Sumbangan kenderaan itu disampaikan wakil syarikat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini, hari ini. Menurut Loke, beliau menghargai usaha beberapa syarikat yang tampil untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran. “Jadi banyak syarikat korporat tampil ke depan menyampaikan bantuan dan sumbangan. Ini adalah satu sumbangan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia. “Ia menunjukkan bahawa apabila kita ditimpa bencana dan kesusahan, semua pihak berganding bahu bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk bersama membantu antara satu sama lain. “Saya harap semangat ini menunjukkan satu semangat rakyat Malaysia yang kita boleh banggakan” kata ketika ditemui media selepas majlis penyerahan bantuan di perkarangan Stesen LRT Putra Heights petang tadi. Turut hadir Pengasas BCorp, Tan Sri Vincent Tan; Ketua Pegawai Eksekutif Matrix, Chai Keng Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng
