SEREMBAN 11 Dis. – Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) berjaya mencatatkan jualan melebihi RM500 juta tahun ini di sebalik jangkaan pasaran yang lembap.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lee Thian Hock berkata, kejayaan itu yang menyamai jualan tahun lalu menunjukkan bahawa permintaan terhadap hartanah di negara ini masih pada tahap yang tinggi.
Berikutan itu, katanya, MCHB menyasarkan untuk mencatatkan jualan sehingga RM700 juta tahun depan.
“Walaupun ada kebimbangan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan, kami yakin permintaan terhadap hartanah masih mempunyai prospek yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
MCHB adalah pemaju Bandar Sri Sendayan (BSS) seluas 2,117 hektar di Sendayan dekat sini yang merangkumi perbandaran serba lengkap bersepadu terdiri daripada kediaman, komersial, industri, santai dan hartanah institusi.
Ia mempunyai 404 hektar kluster industri baharu dikenali sebagai Sendayan TechValley dan akademi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seluas 303 hektar yang akan siap pada akhir tahun depan.
BSS mempunyai populasi kira-kira 20,000 orang daripada 5,500 unit rumah yang sudah disiapkan pada masa ini. Sehingga kini, ia masih mempunyai kawasan seluas 526 hektar yang belum dibangunkan.
Thian Hock menarik perhatian, antara kelebihan yang menjadi tarikan untuk membeli hartanah di BSS ialah kerana harga ditawarkan lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding hartanah di sekitarnya.
“Dalam skop yang lebih besar, harga hartanah di sini adalah separuh berbanding rumah daripada jenis yang sama ditawarkan di Lembah Klang.
“Memandangkan kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikan daerah Seremban dan Port Dickson sebagai The Greater Lembah Klang, maka hartanah yang ditawarkan oleh kami akan menjadi pilihan terbaik,” ujarnya.
Dalam sidang akhbar itu juga, Thian Hock memberitahu, MCHB adalah satu daripada 15 syarikat Malaysia yang menerima anugerah daripada majalah perniagaan terkemuka, Forbes Asia bagi syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan di bawah RM3.49 bilion (AS$1 bilion) pada satu majlis di Bangkok, Selasa lalu.
Beliau sendiri menerima Anugerah Usahawan Platinum 2014 semasa Majlis Anugerah Pengiktirafan Industri Kecil dan Sederhana (SME) 2014 di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu kerana telah membawa MCHB ke tahap lebih tinggi selepas disenaraikan di bursa saham tahun lalu.